Saturday 16 June 2012

Tidak boleh tangguh haji kerana pilihan raya

Wartawan Sinar Harian
16 Jun 2012
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
SHAH ALAM – Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima wajib dilaksanakan bagi mereka yang mencukupi syarat dan ia tidak boleh ditangguhkan hanya kerana pilihan raya.

Pilihan raya bukanlah syarat ibadat haji perlu ditangguhkan kerana syarat menetapkan dalam menunaikan ibadat haji boleh ditangguhkan dan dikecualikan antaranya disebabkan sakit dan  keadaan tidak aman.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan seperti ada bekalan sepanjang berada di sana, tahap keselamatan yang baik dan tidak berada dalam keadaan nyawa terancam.

Menurutnya, bakal jemaah haji juga perlu mampu menyediakan bekalan dan nafkah yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang ditinggalkan.

“Umat Islam yang mencukupi syarat wajib haji perlu menunaikan ibadah haji kerana sekiranya ditangguhkan, ditakdirkan bakal haji meninggal dunia pada waktu tersebut, kematian itu dalam  keadaan seorang Yahudi atau Nasara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya (Pas) menangguhkan niat mereka menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Harussani berkata, perkara itu disebutkan dalam salah satu hadis Nabi Muhammad SAW.

“Ia disebutkan dalam hadis dan menunjukkan kematian dalam keadaan sedemikian cukup berat. Jika kita meninggal dunia dalam keadaan mati seorang Yahudi atau Nasara, maka kematian tersebut dalam keadaan dosa besar,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya berkata, haji bukan ibadah yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam.

Harussani berkata, kita tidak boleh menyatakan hukum pergi haji tidak perlu terburu- buru dan boleh ditangguhkan kerana sesiapa yang cukup syarat, maka wajib mereka menunaikan ibadat haji.

Friday 15 June 2012

Nizar yakin berpeluang menghadap Sultan Johor

NORMAWATI ADNAN
15 Jun 2012
Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin
Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
IPOH – Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tetap akan meneruskan hasratnya untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Menurutnya, apa sekalipun tanggapan dan pandangan orang ramai terhadap kesediaannya itu, beliau tetap akan meneruskan hasrat untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Insya-Allah, saya akan hantar surat permohonan rasmi menghadap Sultan Johor esok pagi (hari ini) dan saya akan tunggu maklum balas daripada pihak istana berhubung perkara itu,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Laporan semalam menyebut, Sultan Ibrahim murka terhadap bekas Menteri Besar Perak itu dan mengingatkan wakil rakyat serta pemimpin masyarakat menjaga adab dan tingkah laku apabila membuat sesuatu kenyataan.

Baginda turut bertitah sekiranya hendak memohon maaf, permohonan maaf itu perlu dibuat kepada semua rakyat Johor, bukan kepada baginda seorang sahaja.

Mengulas peringatan baginda Sultan, Mohamad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, sekiranya beliau diberikan ruang untuk membuat penjelasan mengenai kenyataan dalam mesej Twitternya itu, isu permohonan maaf terhadap rakyat Johor mungkin tidak akan timbul.

“Jika ada pihak yang pertikaikan tindakan ini, tidak mengapalah, yang penting saya sangat berbesar hati sekiranya diberikan ruang untuk menerangkan kedudukan sebenar dan ini juga satu proses keadilan untuk semua pihak,” katanya.