Thursday 25 October 2012

Suami cekup isteri khalwat

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
24 Oktober 2012
Suami cekup isteri khalwat
Isteri Salman (kiri) dan lelaki dipercayai kekasihnya serta seorang lagi wanita ditahan kerana berkhalwat.
AYER KEROH - Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu.
Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berke-naan, awal pagi kelmarin.

Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal.

“Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.

“Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya,” katanya.

Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut.

"Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun.

Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut.

“Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu.
"Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya.
Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman.

Thursday 4 October 2012

Larangan Mendekati Zina: Dekati ertinya belum berzina lagi


Larangan Mendekati Zina: Dekati ertinya belum berzina lagi...
Dalil Larangan Mendekati Zina: Dekati ertinya belum berzina lagi.

Firman Allah SWT. "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." Al Israa: Ayat 32

Dalil Larangan Berzina:

Dari Ibnu Mas’ud rodhiallohu ‘anhu, dia berkata: Rosululloh sholallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Tidak halal ditumpahkan darah seorang muslim kecuali karena salah satu di antara tiga alasan: orang yang telah kawin melakukan zina, orang yang membunuh jiwa (orang muslim) dan orang yang meninggalkan agamanya memisahkan diri dari jamaah.”
(HR. Bukhori dan Muslim)

Selintas mengenai larangan 'Dekati Zina'..

Hati-hatilah terhadap perbuatan zina! Janganlah masuk ke-dalam zon ' jalan-jalan yang mendekati zina'. Sesungguhnya sabar untuk tidak masuk ke jalan-jalan tersebut lebih mudah daripada sabar untuk tidak berzina.

Antara jalan-jalannya ialah..

Pertama: Memandang aurat wanita termasuk wajahnya.

Ini sangat erat sekali hubungannya dengan zina, hingga Allah berfirman.. "Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (An-nur: 30).

Kepada wanita pula Allah perintahkan agar menahan pandangannya terhadap lelaki dan menjaga kemaluannya. Allah berfirman.. "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya." (Q.S. An Nuur: 31).

Menutup jalan menuju zina juga, Allah memerintahkan wanita mu`minah agar menutup aurat. Selanjutnya Allah berfirman.. "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya dan hendaklah mereka menutupkan kain tudungnya ke dadanya." (An-Nur: 31).

Jadi jelas, menyaksikan di internet, tv atau video, di pentas seperti Akademi Fantasia dan lain-lain, mana tampil wanita-wanita dengan membuka aurat atau berhias (tabarruj) termasuk 'jalan kepada zina' yang diharamkan oleh Allah. Begitu juga majalah-majalah, atau gambar-gambar.

Kedua: Pendengaran.

Pendengaran pun boleh jadi jalan ke arah mendekati zina, bila mendengarkan nyanyian-nyanyian wanita yang bukan mahramnya, apalagi dengan iringan muzik, yang isinya tentang cumbu rayu atau cinta kasih dan lain-lain.

Oleh kerana itu Allah berfirman kepada isteri-isteri Nabi SAW, yang mereka itu adalah contoh teladan bagi seluruh kaum wanita muslimah.. "Maka janganlah kamu (wanita mu'minah) tunduk (lemah) dalam bercakap sehingga menimbulkan keinginan pada orang-orang yang dihatinya ada penyakit...)". (Q.S. Al Ahzab: 32).

Ketiga: Ikhtilath (percampuran atau pergaulan bebas lelaki dan wanita). @ Freemixing

Ini adalah jalan yang paling banyak menjerumuskan manusia kepada zina. Betapa banyak perzinaan terjadi yang penyebabnya adalah perkenalan mereka di pejabat, atau keakraban mereka di sekolah, atau perjumpaan mereka di kendaran umum, di rumah atau tempat urut, pusat hiburan, di pentas hiburan dan lain-lain.

Allah Ta'ala berfirman... "Kalau kamu meminta kepada mereka sesuatu keperluan, mintalah dari balik hijab (tabir), yang demikian lebih suci bagi hatimu dan hati mereka." (Q.S. Al Ahzab: 53).

Keempat: Khalwat (berduaan) dengan seorang wanita yang bukan mahram.

Ini lebih bahaya dari yang ketiga. Tidaklah seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita yang bukan mahramnya kecuali yang ketiganya adalah syaithan. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda.. "Janganlah sekali-kali seorang (diantara kamu) berduaan dengan wanita, kecuali dengan mahramnya". (H.R Bukhari dan Muslim).

Beliau SAW juga bersabda.. "Janganlah sekali-kali kalian masuk ke (tempat) wanita." Maka berkatalah seorang dari kalangan Anshar: Bagaimana pendapatmu kalau wanita tersebut adalah ipar (saudara isteri)? Maka Beliau SAW menjawab.. "Ipar adalah maut." (H.R. Bukhari dan Muslim).

Maka termasuk jalan mendekati zina, perginya seorang perempuan bersama pemandu lelaki, tinggalnya seorang lelaki di rumah bersama pembantu perempuannya atau lainnya dari bentuk-bentuk khalwat walaupun asalnya berniat baik, seperti mengantarkan seorang wanita ke tempat tertentu.

Kredit Foto : Zulhafidz Yahaya