Majlis Fatwa, Yoga & Pertikaian
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Fatwa yang dikeluarkan oleh Majis Fatwa Kebangsaan akhir-akhir ini cukup mendapat perhatian ramai, dari orang Islam kepada yang bukan Islam. Dari orang kebanyakkan kepada Perdana Menteri dan Kerabat Diraja.
Saya
masih ingat ketika bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,
Dato Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa bulan lepas. Saya mencadangkan agar
beliau memberikan perhatian kepada bentuk atau teks fatwa (sighah fatwa)
yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa, yang bagi saya antara punca
masyarakat tidak atau kurang hormat kepada fatwa yang dikeluarkan.
"Dato',
saya cadangkan agar teks fatwa yang dikeluarkan dinaiktarafkan
(upgrade) iaitu dengan mengelakkan fatwa beberapa baris kepada
mengeluarkan fatwa beserta kesimpulan yang disertakan penjelasan
bersandar hujjah dan dalil" kata saya
"ia
penting terutama di zaman masyarakat semakin terpelajar dan sering
ingin melihat dan membaca sendiri apakah sandaran yang menyebabkan
sesuatu keputusan atau fatwa itu dibuat"
Saya
juga memberikan beberapa contoh teks fatwa yang amat baik seperti teks
fatwa oleh Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga
Majlis Shariah Kesatuan Perakaunan dan Kewangan Islam Antarabangsa
(AAOIFI).
Sebagai contoh, cuba lihat teks fatwa Majlis Ulama Indonesia yang boleh diakses oleh orang ramai ini :
Melihat
kepada teks-teks fatwa mereka, jelas menunjukkan kesungguhan dan
ketelitian Majlis Ulamanya dalam mengeluarkan fatwa. Majlis Fatwa
Kebangsaan Malaysia juga mungkin teliti dan terperinci dalam
perbincangan mereka, namun rumusan perincian perlu dihebahkan kepada
masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Majlis Ulama Indonesia ini.
Tanpanya, sesuatu fatwa akan kurang dihargai, malah akan kerap dipandang
lekeh oleh pelbagai pihak.
Pendedahan
dan kebijaksanaan, ketelelitian dalam merangka teks fatwa (sighah
fatwa) adalah amat perlu kerana tentu dengannya mampu mengukuhkan
keyakinan ramai selain mendidik para pelajar ilmu agama di seluruh dunia
akan cara-cara mengeluarkan fatwa. Bukankah itu satu proses
pembelajaran yang amat baik.
Cuba
bandingkan tels fatwa Majlis Ulama Indonesia dalam link di atas dengan
kenyataan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia
Lihat teks fatwa ASB :
Jawatankuasa
Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang
bermuzakarah bagi kali ke-80 bermula pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah
memutuskan bahawa Hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN)
dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang
diterima adalah harus.
Oleh
itu, umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu
merasa ragu-ragu terhadap status pelaburan yang telah dibuat serta
dividen atau bonus yang telah diterima. (rujuk )
Tiada penjelasan lanjut, hanya HARUS.full stop.
Berikut
pula adalah fatwa YOGA, Alhamdulillah ia punyai sedikit huraian namun
masih memberikan seribu satu macam persoalan di minda pembaca:
Antara
perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa
Kebangsaan yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 di Kota Bharu,
Kelantan ialah senaman Yoga. Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah
serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli
Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal
dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan
amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan
tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri
dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh
merosakkan akidah seorang muslim.
Oleh
itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau
bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah
dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan
amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya
tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan
wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh
menghakis akidah seseorang muslim.
Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:
(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.(3) perbuatan.
Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. ( sumber )
DOUBLE STANDARD ATAU FATWA SECARA TERPILIH
Ini
adalah satu isu yang sensitif namun wajar diperhalusi dan diambil
perhatian oleh sidang Majlis Fatwa Kebangsaaan agar kewibawaan dan
keyakinan masyarakat kepadanya tidak pudar dan jatuh.
Dakwaan double standard
dan mengeluarkan fatwa secara terpilih terutamanya apabila ia
melibatkan isu politik dan kepentingan pihak tertentu yang berkuasa
sering dikecam oleh pelbagai kumpulan masyarakat.
Namun
protes, cadangan dan pandangan yang kurang senang ini kelihatan
diabaikan dan tidak diambil ‘pusing' oleh ahli majlis fatwa.
Bagi
sebuah Majlis Fatwa dianggap penyelesai masalah ummat dan petunjuk bagi
rakyat dalam hal ehwal agama, ketelusan dan ketegasan dalam fatwa amat
amat diperlukan. Mereka perlu berdikari sebagai Majlis Fatwa Indonesia.
KESELARIAN FATWA
Keselarian pendirian majlis fatwa dengan apa jua fatwa yang telah dikelaurkan oleh mereka juga AMAT-AMAT diperlukan.
Menurut
ilmu Usul Fiqh, keselarian ini amat penting malah keselarian hukum yang
datang dari Allah dan Rasulnya dijadikan salah satu kaedah untuk ulama
semasa dalam menentukan hukum bagi masalah-masalah baru yang timbul
dalam masyarakat. [1]
Kaedah ini dinamakan "Istiqra". Atau "Istiqra tasarrufat as-Shari"
Atau meneliti sifat-sifat hukum yang ditentukan oleh Shari' ( Allah dan RasulNya)
Syeikh Ibn Asyur pernah berkata :-
فعليه أن لا يعين مقصدا شرعياً إلا بعد استقراء تصرفات الشريعة
Ertinya
: "Oleh kerana itu, tidak boleh diketahui sesuatu objektif dalam
sesuatu hokum shariah kecuali setelah dilakukan penelitian dan
penyemakan khusus kepada (hamper semua) bentuk dan tatacara hukum
syariah" [2]
Malah hal keperluan keselarian hukum lalu dengan yang terkini dapat diketahui melalui kaedah istiqra
ini. Melaluinya, akan dapat difahami objektif sesuatu hukum dengan
jelas dan seterusnya membantu para ulama dalam penentuan hukum
seterusnya.
Namun
jika fatwa-fatwa yang dikelaurkan tidak selari, ia akan mencetuskan
kekeliruan umum terhadap dasar fatwa yang dikeluarkan dan targetnya.
Untuk menjelaskan lagi berkenaan keselarian fatwa contohnya begini:
Apabila
Majlis Fatwa memutuskan bahawa YOGA adalah haram disebabkan boleh
berlakunya kesyirikan, penyerupaan dengan upacara keagamaan bukan Islam
dan lain-lain yang disebutkan di atas.
Maka masyarakat kini tertanya-tanya bagaimana pula hal-hal yang lain seperti ucapan Selamat Hari Natal atau Merry Christmas, Happy Deepavali, kongsi raya, bersanding, tepung tawar dan pelbagai lagi yang berasal usul dari agama lain.
Apabila ia disenyapkan atau di fatwakan sebagai HARUS, sedangkan YOGA adalah haram, akan berlakulah ketidak selarian dalam fatwa.
Ia secara automatik akan membawa pertikaian dari pelbagai kumpulan masyarakat yang akhirnya menjatuhkan kredebiliti fatwa.
Tidak
saya nafikan, mungkin majlis fatwa telah pun mengeluarkan beberapa
fatwa lain yang hampir serupa permasalahannya dengan YOGA seperti
PENGHARAMAN SAMBUTAN VALENTINE DAY :
Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71
yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: "Bahawa
amalan
merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh
perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang
bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh
Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama
Islam. ( Sumber : http://www.islam.gov.my )
Namun,
apabila teks fatwa YOGA tidak menyebut contoh-contoh lain dalam
penwartwaannya, kekeliruan akan timbul yang akhirnya menjatuhkan
kredibiliti fatwa. Sebaiknya, bincangkan sekali isu-isu lain yang serupa
ini selain yoga dan keluarkan fatwa sekaligus untuk semua yang
mempunyai ciri yang sama.
Malah
teks fatwa YOGA turut memberikan kekeliruan antara YOGA dengan mantera
dan yang tidak dengan mantera dan jampi. Sekali baca fatwanya di atas
kelihatan YOGA tanpa mantera adalah boleh, sekejap baca lagi macam tetap
tidak boleh.
Justeru,
amat wajar jika yang berwajib dapat mengelakkan pertikaian-pertikaian (
antara lainnya akibat penggunaan bahasa teks fatwa, ayat dan
kandungannya) yang akhirnya menggugat nama baik Majlis Fatwa dengan
bersifat lebih akademik dan professional dalam teks fatwa mereka. Bukan
hanya beberapa baris ringkas seperti fatwa ASB dan malah belum cukup
juga penjelasan ringkas dalam fatwa Yoga. Seeloknya disediakan hujah dan
penulisan seperti yang disediakan oleh seorang wakil penulis JAKIM. [3]
Saya kira, jika semua fatwa yang dikeluarkan dapat disertakan dengan
bentuk lampiran sebegini serta boleh pula diakses oleh ramai, ia adalah
baik dan menggalakkan.
RUANG KAJIAN SEMULA FATWA LEPAS
Pada
hemat saya, adalah amat bijaksana jika Majlis Fatwa Kebangsaan
memanfaatkan kewujudan para ilmuan Syariah di Malaysia sama ada di
Universiti, pondok dan lain-lain instutusi pengajian tinggi yang lain.
dengan menggunkan kepakaran mereka untuk meneliti fatwa yang dikeluarkan
dan ditambah nilai atau dibantah secara ilmiah.
Oleh
kerana mereka yang terlibat dalam pengeluaran fatwa dan kajian isu amat
terhad, saya kira adalah amat wajar jika tindakan intutusi kewangan
Islam gergasi seperti Dallah Al-Barakah dapat diambil kira.
Apa
yang mereka lakukan adalah, setiap fatwa yang telah digazetkan oleh
Majlis Syariah mereka sejak lama dahulu, kini dibuka semula untuk
semakan dan pembetulan (jika perlu dan ada).
Bagi
tujuan itu, baru-baru ini bertempat di Jeddah Hilton pada bulan
September 2008, mereka mula memilih beberapa tajuk dan meminta
pakar-pakar di luar majlis Syariah mereka untuk membentangakn kajian
semula. Hasilnya, terdapat beberapa fatwa mereka yang diubah manakala
beberapa yang lain kekal dan menjadi semakin kukuh. Untuk membaca
beberapa kertas kerja lengkap perbincangan dan kajian semula fatwa
mereka, sila buka link ini
Semakan semula fatwa ini adalah perkara biasa dalam dunia ilmiah para ulama Islam sejak zaman silam.Imam Ibn Qayyim berkata :-
لا يمنعنك قضاء قضيت فيه اليوم فراجعت فيه رأيك , فهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق , فإن الحق قديم لا يبطله شيء ومراجعة الحق خير
Ertinya
: Tidak sesekali terhalang sesuatu keputusan ( fatwa) yang telah kamu
putuskan hari ini maka ingin kamu nilaikannya semula, berpandukan ilmu
kewarasan dan (maklumat baru) maka kamu kembali kepada kebenaran,
sesungguhnya kebenaran itu telah lama (wujud) dan tidak sesekali
dibatalkan oleh sesuatu apapun, dan pengembalian kepada kebenaran adalah
amat baik " ( Ilam al-Muwaqqien, 1/69 )
Selain
itu, kita perlu sedar bahawa fatwa-fatwa dalam beberapa isu yang
berkaitan dengan hokum adakala boleh berubah apabila disedari terdapat
kesilapan dan cara fatwa, sumber rujukan dan lain-lain. Justeru,
menyedari manusia tidak maksum, sekiranya majlis fatwa mampu
menganjurkan majlis seumpama ini,
ia
pastinya akan dapat meningkatkan nilai setiap fatwa yang dikeluarkan di
mata dan hati para akademia di Universiti selain masyarakat awam.
Tulisan
ini tidak sesekali ingin meng'hentam' majlis fatwa namun ia ditulis
dengan niat murni untuk melihat setiap fatwa yang dikeluarkan lebih
dihormati oleh masyarakat bukan secara paksa (tidak wajar cadangan
mengambil untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang
mempertikai), sesungguhnya penghormatan akan datang apabila kualiti
fatwa ternyata dan teksnya dirangka dalam bentuk yang tepat, kemas dan
bijaksana.
Justeru,
hasrat saya agar majlis fatwa mampu serta dapat menzahirkan kualiti
fatwa serta kaedah dan prosedur fatwa mereka yag akhirnya mampu meraih
hormat masyarakat dan seterusnya membantu masyarakat Islam dalam urusan
deen Islam yang mulia ini.
Sebagai
ahli akademik berlatarbelakangkan agama di Malaysia, saya turut merasa
kurang senang apabila institusi yang sepatutnya hebat di mata masyarakat
seperti ‘majlis fatwa' dihina dan dicerca dan tidak dihormati, namun
tiada jalan lain kecuali suatu plan perubahan mestilah dilakukan untuk
memartabatkan kembali majlis fatwa kebangsaan Malaysia dan juga
institusi Mufti di Malaysia.
Bagi
mereka yang berkuasa, anda bertanggungjawab untuk mengjaga nama baik
Islam dan instutui fatwa. Jangan dipaksa masyarakat untuk ‘hormat' jika
kita tiada elemen yang boleh dihormati. Justeru, dapatkan elemen itu
bukan dengan paksa tetapi secara fitrah.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
3 Disember 2008