Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
SOALAN
Ahmad Fuad <ahmad0386@yahoo.com> wrote:
Assalamualaikum Ustaz Zaharuddin yang di kasihi.
Adakah bersugi lebih dari sekali dalam Ramadhan itu, ...makruh....Saya
suka bersugi sebelum solat , terutama sekali bila berpuasa, untuk
mendapatkan pahala dan supaya bau mulut tidak menggangu saf saya.
Adakah bersugi ( 3 kali, pagi, zohur, asar ) pada waktu berpuasa itu ...makruh ..?
Saya baca dalam islamnet tadi, bersugi dgn mengunakan miswak di galakan di Ramadhan, as it is healthy.
Saya di fahamkan dari kecil bersugi selalu sangat di Ramadhan , makruh
Harap tuan Ustaz dapat memberi penjelasan supaya kita semua boleh amalkan di Ramadahan Al Mubarak.
Saya
tertarik dengan jawapan yang dikemukakan oleh sheikh UZAR, alim dalam
bidang ilmu agama. Banyak perkara yang telah saya pelajari darinya.
Semoga ALLAH berkati usianya menyebarkan ilmu dan menyampaikan
kefahaman yang sahih kepada kita semua.
Sebelum
kita melangkah dengan lebih mendalam bagi membahaskan tajuk ini,
adalah wajar sekiranya ditinjau terlebih dahulu akan tujuan bersiwak.
Sudah tentu tujuannya ialah untuk menjaga kebersihan mulut supaya tidak
menganggu masyarakat di sekeliling kita di samping supaya kebersihan
dan kesihatan mulut dan gigi terpelihara.
Inilah
fokus utama mengapa Nabi bersabda ' Jika tidak menyusahkan umatku,
pasti aku perintahkan mereka bersiwak (gosok gigi) setiap kali
(berwudhu') untuk menunaikan solat'. Hadith sahih riwayat Bukhari dan
Muslim.
Justeru,
persoalan sama ada menggukan kayu siwak, ubat gigi, berus gigi atau
air tidak timbul. Kesemua ini hanyalah alat bagi mencapai tujuan yang
dimaksudkan oleh baginda iaitu kebersihan.
Saya
menyedari kedaifan diri saya ini. Namun begitu, saya kurang bersetuju
dengan ijtihad yang mengatakan bahawa menggunakan air atau ubat gigi
adalah makruh kerana dikhuatiri akan tertelan. Istilah 'ter' telan
menunjukkan perbuatan yang berlaku di luar jangkauan kita. Begitu juga
dengan termakan, ia tidak membatalkan walhal si termakan tersebut sudah
termakan dua pinggan nasi. Justeru, perbuatan yang tidak disengajakan
adalah dimaafkan. Ini kerana ini berlaku di luar kawalan normal minda
manusia. Lihatlah bagaimana ISLAM yang tulin menyediakan landasan yang
kukuh dalam memudahkan urusan penganya kerana ALLAH inginkan kemudahan
bagi hambaNya, bukannya kesukaran.
Saya
sebagai penuntut ilmu dan memerlukan banyak bimbingan dari sheikh UZAR
berpandangan bahawa penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi
merupakan perkara yang dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus
saranan Nabi SAW iaitu kebersihan mulut.
Wallahu-a'lam. Teguran dan nasihat dialu-alukan.
Jazakallahuhair
ahmad fuad
JAWAPAN
Walaikumussalam,
Alhamdulilah
perbincangan yang baik dari Syeikh marcelo tetapi saya minta maaf
kerana tidak bersedia untuk berbincang 'dalil by dalil' dengan panjang
lebar dalam hal ini di dalam group ini, cuma perbincangan sederhana
adalah digalakkan.
Bersugi
dan memperbanyakkan bersiwak menggunakan kayu sugi adalah amat
digalakkan dalam setiap waktu di bulan ramadhan, samada pagi , tengahari
atau petang, ia berdasarkan hadith sohih yang menyebut :Dari 'Amir bin Rabi'ah berkata "Telah aku lihat Nabi SAW bersiwak tidak terkira banyaknya dalam keadaan baginda berpuasa ( Riwayat al-Bukhari)
Cuma
perlu diingat, siwak Nabi adalah menggunakan kayu sugi tanpa air dan
ubat gigi yang berperisa. Justeru tiada kemungkinan nabi terminum atau
termasuk di perut Nabi ubat gigi. Justeru, jika gosok gigi pakai ubat
gigi, maka tatkala itulah terdapat ijtihad mengatakannya sebagai makruh
kerana bimbang peluang terbatal kerana minum air kumuran dan ubat gigi.
Memang benar, perbuatan 'ter' minum tidak wajar menjadi batal kerana ia
tidak disengajakan, tetapi apabila sesuatu yang 'mubah' dibuat tanpa
keperluan lalu menyebabkan 'ter'minum, ia boleh membawa kepada batal.
Sebagaimana mandi biasa berulang kali dengan sengaja, berkumur berulang
kali dengan sengaja sehingga akhirnya terminum.
Tujuan
saya tidak lain hanyalah menjauhi apa jua yang berkemungkinan
membatalkan puasa atau bercanggah dengan ruh ibadah puasa itu sendiri.
Jangan pula kerana ingin mencapai 'maqasid' (objektif) dari bersiwak
sehingga boleh membuka ruang mencarik maqasid ibadah puasa teruatamanya
bagi orang awam yang suka mengambil peluang. Dalam keadaan objektif itu
boleh dicapai tanpa menggunakan air yang berlebihan (kumur) atau ubat
gigi.
Maka dalam hal ini, mengabungkan dua ‘maqasid’ tanpa membuka ruang masalah adalah terpilih pada hemat saya. Justeru, saya berpandangan, lebih elok menghindarkan diri dari ubat gigi bagi mengelakkan berkumur mengguna air berlebihan tatkala berpuasa, khususnya selepas zohor. Di tambah pula terdapat cara lain yang boleh menyampaikan kita ke faedah siwak itu.
Selain itu, Nabi saw ada bersabda :-
أسبغ الوضوء وخلل بين الأصابع , وبالغ في الإستنشاق إلا أن تكون صائماً ( ابو داود)
Ertinya : Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu , dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa
( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih
menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh
Az-Zahabi ; albani ; sohih)
Memasukkan
air di dalam hidung seperti ini adalah di kira sama dengan hukum
berkumur menurut kebanyakan ulama fiqh. Kebanyakkan mereka termasuk
ulama hadith biasanya menggabungkan topik menghisap air ke hidung dan
kumur dalam satu bab. Justeru, inilah dalil pertama mengapa kami
mengatakan menggosok gigi dengan air dan ubat gigi berperisa adalah
makruh dan tidak digalakkan. Namun tidaklah secara automatic membatalkan
puasa.
Sebahagian
besar ulama Syafie menyebut bahawa berkumur-kumur dengan berlebihan
adalah satu perbuatan makruh ketika puasa. Dalil hadith sohih yang
dipegang oleh mereka adalah :
لخلوف فم الصائم يوم القيامة أفضل عند الله من ريح المسك
Ertinya
: Sesungguhnya bauan mulut orang yang berpuasa itu pada hari kiamat
adalah lebih baik di sisi Allah daripada bauan haruman kasturi"
Justeru,
menurut ijtihad mereka, memperbanyakkan berkumur terutamanya selepas
zohor mampu menghilangkan bauan mulut hasil ibadat puasa yang diberkati
ini. Lalu, bersugi menggunakan air dan ubat gigi yang mempunyai wangian
sudah pasti juga akan mengilangkan bau ini. Kerana itulah ia dikira
makruh dan tidak digalakkan. Adapun Nabi SAW yang bersiwak hanya dengan
kayu sugi, saya kira ia adalah tepat disamping tepat pula untuk
membersihkan gigi dengan tidak memberi kesan terhadap bauan mulut.
Pandangan
dan ijtihad mazhab Syafie ini juga dikongsi oleh ulama Mazhab Hanbali
dan Mazhab Maliki ( Rujuk Kassyaf al-Qina' , 2/383 ; As-Syarh as-Soghir,
1/692) juga menyenaraikan berkumur banyak tatkala puasa itu adalah
makruh. Justeru, menggosok gigi menggunakan air dan ubat gigi sekali
lagi termasuk dalam hal ini kerana ia memerlukan kumuran yang banyak
demi menghilangkan kesan ubat gigi.
Benar,
sekiranya terminum air hasil dari kumuran tidak membatalkan puasa
kerana ia adalah perbuatan tidak sengaja. Bagaimanapun, Imam An-Nawawi
menyebut, sekiranya terminum itu adalah hasil kerana berlebih-lebihan
dalam berkumur sehingga 4 kali kumuran, tatkala itu, jika tertelan air
pada kumuran berlebihan yang keempat, ia boleh membatalkan puasa ; ia
adalah kerana berlebihan itu sudah terkeluar dari hajat yang asal. (
Rawdah at-Tolibin, hlm 335 ).
Malah
terdapat ulama besar seperti Ulama hanafi, Al-Qasimiah, Imam Malik dan
Imam As-Syafie (dalam salah satu pandangannya) dan Imam Muzani yang
berpandangan puasa boleh terbatal walaupun tertelan air kumuran tanpa
sengaja. Manakala sebahagian ulama lain mengatakan tidak batal seperti
Ishak Rahawaih, Awzai'e dan ulama mazhab Syafie (Naylul Awtar,
As-Syawkani, 4/521) ; Kerana itu eloklah dijauhkan dari perbuat amalan
yang ikhtilaf ini. Ia sudah tentu terlebih baik bukan.
Benar, Nabi SAW pernah bersabda :
أرأيت لو تمضمضت بماءٍ وأنت صائم , قلت : لا بأس بذلك , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ففيم
Ertinya
: Nabi berkata kembali kepada (Umar ) (apabila aku bertanya apa hukum
mencium tatkala puasa ) : apakah pandangan kamu sekiranya kamu
berkumur-kumur dengan air dalam keadaan kamu berpuasa ? ; aku jawab :
Tiada masalah ; Bersabda Nabi : begitulah (juga hukumnya dengan ciuman
tadi) ( Riwayat Abu Daud, no 2385 ; Albani : Sohih)Bukanlah lebih elok dan selamat jika dihadkan gosok gigi dan kumuran yang terhad dengan bilangan gosok gigi guna air yang terhad, selebihnya mengunakan sugi atau berus gigi tanpa melibatkan air dan ubat gigi.
SEKIAN
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
2006
No comments:
Post a Comment