Tuesday 3 April 2012

Doa iringi pembedahan Mawar Nur Farisya

Wartawan Sinar Harian
3 April 2012
Mawar Farisya Farid Alsuwad
SHAH ALAM - Hati mana yang tidak bimbang terhadap keselamatan anak yang akan menjalani pembedahan, kalau boleh kita mahu semuanya selamat, kata bapa Mawar Nur Farisya, Farid Alsuwad Mohamed Maki.

Farid Alsuwad berkata, dia dan isteri kini hanya mampu berdoa semoga anaknya yang akan menjalani pembedahan injap jantung tersumbat hari ini, selamat.

“Saya dan isteri hanya mampu berdoa semoga Mawar selamat. Walaupun perasaan takut itu ada, demi melihat dia sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa, kami pasrah dan berharap yang terbaik buatnya.

“Apa yang penting, kami telah cuba berikhtiar dan kini kami akan terima segala ketentuan Tuhan. Kami hanya mampu berdoa agar Mawar dapat yang terbaik dan pembedahan ini akan berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pembedahan yang akan dilakukan pakar kardiologi Hospital Gleneagles, Dr Lim Miin Kang dijangkakan mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam.

“Semalam, Mawar telah menjalani pemeriksaan darah dan alhamdulillah, kesihatannya baik. Tiada demam atau batuk dan dia bersedia untuk dibedah esok (hari ini).

“Pembedahan itu akan membetulkan saluran injap jantung yang tersumbat dan merawat lubang kecil pada jantung Mawar,” katanya.

Sejak berita mengenai Mawar disiarkan Sinar Harian pada 23 Mac lalu, penderitaan kanak-kanak dua tahun itu semakin mendapat perhatian dan sumbangan demi sumbangan dihulurkan semakin hari semakin meningkat sehingga mampu menanggung kos pembedahannya sebanyak RM40,000.

Menurut Farid Alsuwad, Mawar yang sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit dijadualkan mendapat rawatan susulan selama seminggu di hospital berkenaan sebaik selesai menjalani pembedahan.

Dia bagi pihak keluarga turut merakamkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan sumbangan untuk pembedahan anaknya itu.

“Terima kasih tidak terhingga untuk semua yang sudi menghulurkan sumbangan. Saya dan isteri amat bersyukur dan berharap agar berkat doa semua, Mawar akan selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment