Showing posts with label Nizar. Show all posts
Showing posts with label Nizar. Show all posts

Friday, 15 June 2012

Nizar yakin berpeluang menghadap Sultan Johor

NORMAWATI ADNAN
15 Jun 2012
Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin
Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
IPOH – Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tetap akan meneruskan hasratnya untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Menurutnya, apa sekalipun tanggapan dan pandangan orang ramai terhadap kesediaannya itu, beliau tetap akan meneruskan hasrat untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Insya-Allah, saya akan hantar surat permohonan rasmi menghadap Sultan Johor esok pagi (hari ini) dan saya akan tunggu maklum balas daripada pihak istana berhubung perkara itu,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Laporan semalam menyebut, Sultan Ibrahim murka terhadap bekas Menteri Besar Perak itu dan mengingatkan wakil rakyat serta pemimpin masyarakat menjaga adab dan tingkah laku apabila membuat sesuatu kenyataan.

Baginda turut bertitah sekiranya hendak memohon maaf, permohonan maaf itu perlu dibuat kepada semua rakyat Johor, bukan kepada baginda seorang sahaja.

Mengulas peringatan baginda Sultan, Mohamad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, sekiranya beliau diberikan ruang untuk membuat penjelasan mengenai kenyataan dalam mesej Twitternya itu, isu permohonan maaf terhadap rakyat Johor mungkin tidak akan timbul.

“Jika ada pihak yang pertikaikan tindakan ini, tidak mengapalah, yang penting saya sangat berbesar hati sekiranya diberikan ruang untuk menerangkan kedudukan sebenar dan ini juga satu proses keadilan untuk semua pihak,” katanya.

Wednesday, 16 May 2012

Nizar: Tindakan saya tak salah

NORMAWATI ADNAN & NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
16 Mei 2012
Nizar: Tindakan saya tak salah
Mohammad Nizar (dua, kanan) dilihat duduk sebaris bersama Mohd Radzi (tiga, kanan) dan Shaarani (empat, kanan)
IPOH – “Saya hadir bukan dengan niat mengganggu kelancaran program, lagi pula ceramah itu mengalu-alukan orang ramai, tidak terkecuali saya sendiri.”

Demikian ulasan bersahaja yang diberikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kehadirannya dalam satu ceramah anjuran Umno di Tualang Sekah, 13 Mei lalu.

Mengakui kehadirannya menyebabkan orang ramai termasuk pemimpin Umno kawasan itu terkejut, Mohammad Nizar berkata, kunjungan­nya ke program itu tidak lain, hanya untuk mendengar pendedahan yang dibuat berkaitan dirinya.

“Apa salahnya saya duduk dan dengar sesuatu yang ada kaitan dengan saya, kebetulan ada kerusi kosong di bahagian hadapan pentas, saya pun duduklah,” katanya.

Pada malam 13 Mei lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Adun Pasir Panjang itu hadir dalam ceramah anjuran Umno bertajuk ‘Nizar Pembohong Bersiri’.

Turut berada dalam ceramah itu adalah Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Shaarani Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Kampar, Datuk Mohd Radzi Manan.

Mohammad Nizar berkata, beliau terpanggil untuk hadir ke ceramah itu kerana secara kebetulan sedang menunggu giliran untuk memberi ceramah anjuran Pas Kampar yang diadakan kira-kira 150 meter dari lokasi.

Menurutnya, meskipun ada pihak yang tidak senang dengan kehadirannya dan memintanya beredar, beliau mengambil pendekatan untuk terus dengar dan lihat.

“Pandangan hadirin secara tiba-tiba tertumpu kepada saya, tetapi saya minta penceramah teruskan sesinya yang jelas sedang menghentam diri saya.

“Jika berlaku sebaliknya, saya lagi suka kalau orang Umno hadir ceramah saya, lebih mudah untuk saya sampaikan maklumat,” katanya.