Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
Ramai
yang terkeliru apabila menyebut 'pinjaman secara Islam' apabila merujuk kepada
produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam. Hakikatnya, mereka semua
silap, kerana produk bank Islam yang berasaskan pinjaman hampir tiada. Ini
adalah kerana sesebuah 'pinjaman' Islam tidak boleh sama sekali dijadikan
sebagai medium untuk meraih sebarang keuntungan. Pinjaman tidak lain hanya satu
jenis kontrak belas ihsan, untuk menolong mereka yang susah secara percuma
sahaja. Hasil dari itu, Allah swt menjanjikan mereka yang memberikan pinjaman
tanpa sebarang caj dengan gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda.
Terlalu
sedikit produk bank-bank Islam yang
didasari oleh aqad pinjaman, contoh seperti kad Caj oleh Ar-Rajhi Bank dan
beberapa lain, yang lain semuanya bukan atas aqad pinjaman. Hasil dari itu,
bank-bank Islam berusaha mencari pelbagai konsep lain yang lebih sesuai.
Ternyata keuntungan secara halal boleh diperolehi tiga kaedah iaitu:-
1) melalui aqad jual beli, termasuk sewaan
2) melibatkan diri dalam sistem perkongsian
pelaburan dari jenis Mudharabah atau Musharakah.
3) Melalui konsep ujrah atau upah hasil
sesuatu perkhidmatan yang diberi.
Namun begitu, menurut kebiasaanya
ketiga-tiga konsep ini digunapakai oleh individu atau syarikat-syarikat persendirian
atau biasa bagi memperolehi untung. Ia ternyata amat sesuai dan tepat untuk
digunakan oleh industri tersebut.
Oleh
kerana sifat dan fungsi sebuah bank berbeza dengan sebuah syarikat jualan
biasa, sambil menyedari ketiga-tiga konsep sahaja yang ada bagi membolehkan sesebuah
bank untuk memperolehi keuntungan, pihak bank cuba mengadaptasikan konsep-konsep
tersebut bagi menyesuaikannya dengan sifat sebuah bank di zaman moden ini.
Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, itu adalah dalam
konteks sebuah bank riba, maka fungsi itu terpaksa ditukar kepada bank Islam
sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai 'trader', iaitu penjual dan
pembeli.
Untuk
mengubah sifat asal fungsi sebuah bank dari pemberi pinjam kepada pembiaya dan
penjual serta pembeli, bank-bank Islam banyak menghadapi cabaran undang-undang
setempat. Adakalanya halangan undang-undang setempat boleh menjadikan sebuah
bank Islam gagal untuk berfungsi secara seratus peratus menepati Shariah. Bukan
kerana mereka sengaja untuk ingkar dan culas, tetapi terpaksa tunduk dek
undang-undang setempat yang enggan diubah oleh pembuat undang-undang. Usaha
mendesak masih berterusan tetapi tentunya tidak wajar diletakkan ancaman dan
kecaman kepada bank-bank Islam. Jika ingin mengecam, pastinya anda faham siapa
yang patut ditujukan kecaman.
CARA BANK ISLAM
Dalam
tulisan ini, saya akan cuba mendedahkan dengan ringkas salah satu cara yang
cuba digunapakai oleh sebuah bank Islam bagi menjalankan fungsinya sebagai
pembiaya dan juga trader.
Caranya
adalah dengan memperkenalkan konsep jualan secara Murabahah. Bagi mengadun
kontrak Murabahah agar ia dapat disesuaikan dengan peranan asas
sebuah bank iaitu sebagai pembiaya, financier atau orang tengah (intermediaries) yang pada hakikatnya tetapi ingin
bertransaksi seperti syarikat peniaga (trader),
beberapa jenis pengadunan kontrak Murabahah telah dibuat bagi tujuan itu. Ia seperti
berikut :-
· Produk
pembiyaan aset atau modal (Financing): Murabahah antara
tiga pihak (Tri-partied Murabahah )
· Produk
Perbendaharaan (treasury) : Komoditi Murabahah
· Produk
pasaran modal (capital market) : Terbitan Sukuk Murabahah
Demikian
tadi tiga contoh produk utama yang menggunakan konsep Murabahah dalam tiga sektor
utama perbankan. Namun dalam tulisan ini, saya hanya akan menyebut satu sahaja
dari tiga produk tadi.
MURABAHAH DENGAN PIHAK YANG PINTA BELI (MURABAHAH LIL AMIR BISHIRA)
Murabahah Lil Amir Bishira didefinisikan
sebagai jualan Murabahah bagi
individu yang berjanji untuk membeli atau Murabahah
to the purchase orderer, ia adalah satu bentuk permintaan satu pihak
(pelanggan) kepada satu pihak lain yang mempunyai wang (biasanya bank) untuk
membeli satu satu aset yang diingi pelanggan dengan pihak pelanggan berjanji
akan membelinya dari pihak yang pembeli awal (bank) dengan harga yang lebih
tinggi dari pembelian pertama. (Al-Murabahah kama Tujrihi
Al-masarif Al-Islamiah, Al-Qaradhawi)
Produk ini mempunyai bentuk
idealnya dan mempunyai bentuk praktikal yang diamalkan oleh beberapa buah bank
Islam di Malaysia. Kebiasaannya konsep ini digunakan untuk produk-produk runcit
di bank-bank Islam (retail banking
products).
Produk yang menggunakan asas Murabahah biasanya boleh digunakan untuk pembiayaan aset
seperti :
· kereta, rumah, kapalterbang, kapal
· alatan mesin untuk kegunaan kilang,
· bangunan
· tanah
· hak cipta
· hak pemilikan saham
dan lain-lain aset yang bersifat tangible dan intangible.
HUKUM
Majoriti ulama mengharuskan
pembelian secara dalam bentuk ini dengan beberapa syarat yang mesti dijaga.
Selain syarat-syarat Murabahah yang biasa, kontrak Murabahah antara tiga pihak ini punyai beberapa syarat tambahan,
tanpanya jual beli ini dikira batal dan haram.
Keharusan jual beli ini telah
lama disebut, khususnya oleh Imam As-Syafie :-
إذا أَرى الرجلُ الرجلَ سلعة، فقال: اشتر هذه
وأربحك فيها كذا، فاشتراها الرجل، فالشراء جائز, والذي قال أربحك فيها بالخيار , إن شاء
أحدث فيها بيعا وإن شاء تركه
Ertinya : Apabila seorang lelaki menunjukkan
kepada seorang yang lain satu barang lalu berkata : Engkau belilah ia, dan aku
akan beli dari kamu dengan tambahan beberapa jumlah untung buatmu, maka lelaki
(pertama) itu membelinya, jual beli ini adalah harus, manakala lelaki yang
berkata akau akan membeli darimu dengan untung( yang berjanji), adalah terbuka
kepada pilihan, sama ada untuk membelinya atau menolaknya . (Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, 3/33)
Proses
jual beli sebegini juga turut difatwakan oleh majoriti ulama semasa sebagai
harus, termasuk majlis Syariah Accounting and Auditing Organization for
Islamic Financial Institutions (AAOIFI) [1], Fatwa muktamar Perbankan Islam kedua di Kuwait tahun 1983 dan juga Akademi
Fiqh OIC dalam sidang mereka yang kelima pada tahun 1988.
Antara
syarat bagi menjadikannya halal sebagaimana yang dijelaskan secara ringkas
dalam resolusi akademi Fiqh OIC adalah ( rujuk Qararat wa tawsiat, Akademi Fiqh OIC, Dar
al-Qalam):-
أولاً : أن بيع المرابحة للآمر بالشراء إذا وقع على سلعة بعد دخولها في ملك
المأمور ، وحصول القبض المطلوب شرعاً ، هو بيع جائز ، طالما كانت تقع على المأمور
مسؤولية التلف قبل التسليم ، وتبعة الرد بالعيب الخفي ونحوه من موجبات الرد بعد
التسليم ، وتوافرت شروط البيع وانتفت موانعه .
ثانياً : الوعد - وهو الذي يصدر من الآمر أو المأمور على وجه الانفراد -
يكون ملزماً للواعد ديانة إلا لعذر
ثالثا : المواعدة - وهي التي تصدر من الطرفين - تجوز في بيع المرابحة بشرط
الخيار للمتواعدين ، كليهما أو أحدهما ، فإذا لم يكن هناك خيار فإنها لا تجوز ،
لأن المواعدة الملزمة في بيع المرابحة تشبه البيع نفسه ، حيث يشترط عندئذ أن يكون
البائع مالكاً للمبيع حتى لا تكون هناك مخالفة لنهي النبي عن بيع الإنسان ما ليس
عنده
Ertinya :
Pertama : Jualan ini apabila
berlaku ke atas satu asset, diwajibkan pihak pembeli (bank) untuk memiliknya
dengan pemilikan sah menurut hukum syara, maka tatakala itu ia jualbeli yang
sah. Iaitu selagi mana pihak yang diminta (biasanya bank) menanggung
tanggungjawab dan risiko jika aset rosak sebelum dijual (serahan) kepada
pelanggan, dan juga bertanggung jawab untuk menerimanya jika dipulangkan kerana
terdapat ‘aib yang tersembunyi pada asset dan sebab-sebab yang mewajibkan
pengembalian semula setelah diserah kepada pembeli.
Kedua : Janji :
iaitu yang diberikan oleh peminta (pelanggan) kepada yang diminta ( bank),
janji ini bersifat mengikat (mulzim)
ke atas yang member janji dari sudut agama kecuali jika terdapat keuzuran
sebenar
Ketiga : Kedua pihak saling berjanji : Iaitu janji yang
diberikan oleh kedau-dua belah pihak (pihak peminta janji akan beli dan yang
diminta janji akan jual), ia adalah harus dengan syarat kedua pihak bebas dan
boleh memilih (sama ada untuk meneruskan atau membatalkan), jika kedua belah
pihak terikat dan tidak boleh membatalkan janji mereka, tatkala itu janji kedua
belah pihak menjadi tidak harus (kontrak batal dan haram), kerana saling
berjanji untuk membeli dan menjual adalah sama seperti kontrak jual beli, yang
ketika itu memerlukan penjual telah memiliki aset, agar mereka tidak jatuh ke
dalam larangan menjual sesuatu sebelum memilikinya.
Kesimpulannya, jual beli secara murabahah ini boleh dan halal dilaksanakan
oleh bank-bank Islam dengan syarat-syarat khusus yang disebutkan di dalam
resolusi fatwa di atas ringkasannya :-
- Bank mestilah telah membeli aset dan memilikinya sebelum dijual kepada pelanggan.
- Aset yang dijual oleh bank mestilah berada dalam jaminan pihak bank selaku penjual sekiranya terdapat kerosakan dan aib tersembunyi, justeru pihak pelanggan boleh memulangkannya kepada bank jika terdapat rosak.
- Janji dari satu pihak adalah bersifat mengikat.
- Janji dari dua pihak tidak boleh bersifat mengikat, kerana ia akan jatuh dalam jualan hutang dengan hutang dan jualan aset yang belum dimiliki.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
12 Mei 2009
No comments:
Post a Comment