Untuk
pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika
saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang
dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini
diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak
buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.
Sekarang
saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja
kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya
pekerja tidak memakai tudung. Saya
tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya
tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).
Cara
pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat.
Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka.
Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.
Bagi
yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang.
Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga
menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi
memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan
garis pakaian dalam yang dipakainya.
Tudung
yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang
tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul
menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari
perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang
tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan
pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga
solat, pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan
saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya
tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang
ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana
disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...
- Diera -
JAWAPAN
Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.
Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-
Namun
demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak
semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.
Justeru, sama
ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh
orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi
Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.
Sebagaimana
seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di
United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana
hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah
akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain
akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk
diadukan kepada polis.
Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak
kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas
atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu
adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat
kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama
seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama
Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri
dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita
bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita
tersebut).!
Justeru
itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk
mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah
arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.
Sama seperti
mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta
larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak,
terpaksa atau tidak. Kewajiban
untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam
tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih
gagal mencapai tahap Ikhlas.
Apa
yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas
semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh
dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama
adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.
Perlu
diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara
ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar
keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang
diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU
kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak
melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak
mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun
jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan
TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu
menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual,
atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan
kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu
sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti
apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu
dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Kesimpulannya,
‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu
hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan
hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar
jangan lagi terpedaya, ingatlah
berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus
menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali
TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.
2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.
Kembali
kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan
saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan
akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan
memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa
mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau
bertudung.
Sebelum
itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja
di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga
mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.
Satu
perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju
ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya,
semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA
SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.
Justeru,
adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI
MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga
TIDAK MENUTUP AURAT.
Malah
jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk
merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu
sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.
Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain
itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita
membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak.
Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan
usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Jelas
dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti
sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha
Manakala
dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat
mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur
dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ
من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه
لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو
فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ
اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya
: Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya
sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.
Tahniah
atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah
laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang
gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah
menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Namun
apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari
menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan
pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu
hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.
Juga,
buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar
sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah
benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat
untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang
kononnya menutup aurat tetapi buruk.
Justeru,
saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang
saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat,
mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut
pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :
Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Malah
saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban
agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak
perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.
Lalu
apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja
berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana
tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan
Allah.
Bukankah
mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh
derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam
hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.
4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?
Jika
bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru
ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara
tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu
lagi.
Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.
Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.
Saya
juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan
teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
9 Muharram 1431
26 Disember 2009