Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir
Ramadan adalah:
1. Melakukan qiamullail;
2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat
pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan
pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini nabi
memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut
peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3
surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”
Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim,
maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya
kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang
lalu”.
Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW
mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan
besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.
Dalam sesetengah
riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan
keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana
mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW
menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk
berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat
sunat, beristighfar dan sebagainya.
Persiapan Nabi SAW untuk
menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan
daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan
dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi
dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara
Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.
Ulama Islam
berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan
keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali
mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan
sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah
menyokong pendapat itu.
Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah
Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah
ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap
melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan
Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib
yang berkata, maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan
berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”
Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat
Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan
itu.” Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi
SAW bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa
siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat
perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa
berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh
lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”
Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail
untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan
subuh berjemaah bagi lelaki.
Bagi wanita khasnya yang uzur kerana
haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan
ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan
sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu:
“Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau
gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”
Dalam tafsir
Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting
yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan
keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.
Dalam zikir, kita
mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar
kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki
tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga
kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”
Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan
lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat
Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman
daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan
dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu
bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”
No comments:
Post a Comment