Soalan
Minta
jasa baik ustaz untuk menerangkan tentang displin penceraian dalam
Islam. Satu lagi, sekarang ini biasa berlaku di tempat kita, bila
bercerai isteri akan balik rumah ibu bapanya. Saya ada dengar ia tidak
dibolehkan, benarkah?
Jawapan UZAR
Mengulas
persoalan talaq atau penceraian dalam Islam memerlukan huraian yang
panjang lebar dan boleh mencecah tahap sebuah buku. Justeru, saya hanya
akan memetik beberapa bahagian sahaja.
Penceraian
adalah jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri
yang menghadapi masalah sama ada ketidakserasian atau juga masalah lain
berkait dengan zalim, tidak tunai tanggung jawab dan lainnya.
Terdapat
ulama yang menyatakan talaq ini sebenarnya amat dibenci sehingga sampai
tahap dilarang dan ia hanya diharuskan apabila cukup syarat dan
sebabnya atas nama 'keringanan' atau 'rukhsah'.
Nabi s.a.w bersabda :-
أبغض الحلال إلى الله الطلاق
Ertinya
: "Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq ( penceraian
suami isteri)"( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy :
Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih )
Namun pendapat ini tidaklah kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talaq ke atas hafsah Bt Umar Al-Khattab dan kemudian ruju' kembali. Kesimpulannya ia hanyalah makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247 )
Ini bertepatan dengan sabda baginda s.a.w : -
"Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)
Dan sabdanya pula:
إن الله لا يحب الذواقين والذواقات
Ertinya
: "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai
dan perempuan-perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani
dengan sanad Dhoif kata Al-Munawi)
Namun demikian, talaq yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan displin yang ditentukan Islam seperti berikut : -
1) Jangan Dicerai Ketika Isteri Haid & Nifas.
Haram dan berdosa hukumnya seorang suami menjatuhkan talaq isterinya dalam keadaan isterinya dalam keadaan :
- haid
- nifas
- setelah disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.
Justeru, bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dan tiga situasi tersebut.
Ini
adalah tanda fitrahnya (bertepatan dengan naluri manusiawi yang normal)
hukum Islam, kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang
suami wajib menjauhi isterinya. Barangkali karena terhalangnya dan
tketidakmampuannya mengawal nafsunya itu yang mendorong untuk
menjatuhkan talaq.
Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Sedangkan diketahui mental dan mood
sang isteri tidak stabil diwaktu haid dan nifas terutamanya. Justeru
tidak wajar sama sekali dibenarkan penceraian di waktu itu jika
terdorong dek rasa marah dan tidak puas hati itu.
Syeikh Al-Qaradawi berkata :
"Sebagaimana
diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan
menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebab siapa tahu
barangkali si perempuan itu memperoleh benih dari suaminya pada kali
ini, dan barangkali juga kalau si suami setelah mengetahui bahawa
isterinya hamil kemudian dia akan merubah niatnya, dan dia dapat hidup
senang bersama isteri karena ada janin yang dikandungnya." ( Al-Halal
Wal Haram Fil Islam )
Dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dikisahkan, bahwa Abdullah
bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian
ini sewaktu Rasulullah s.a.w. masih hidup. Maka bertanyalah Umar kepada
Rasulullah s.a.w., maka jawab Nabi kepada Umar:
ً
Ertinya
: "Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) supaya ruju' kembali, kemudian jika
dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum
disetubuhinya. Itulah yang disebut mencerai pada iddah, sebagaimana yang
diperintahkan Allah dalam firmanNya: Hai Nabi! Apabila kamu hendak
mencerai isterimu, maka cerailah dia pada iddahnya. Yakni menghadapi
iddah, yaitu di dalam keadaan suci."
Di satu riwayat disebutkan:
Ertinya
: "Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian
cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung." (Riwayat Bukhari)
JIKA DIJATUHKAN KETIKA HAID, ADAKAH SAH ?
Menurut
pendapat majoriti mazhab Islam, talaq itu tetap sah, tetapi si
pelakunya berdosa. Ia berdalilkan sebuah hadis Abdullah Ibn Umar tadi,
apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, nabi mengarahkannya
agar segera ruju' kembali. Ini bererti talaqnya jatuh cuma berdosa.
(Al-Mughni, 7/99 ; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 225 )
Sementara
kumpulan minoriti ulama berpendapat talaq tidak jatuh dan tidak sah,
sebab talaq itu samasekali tidak menurut aturan syara' dan tidak
dibenarkan. Oleh karena itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku
dan sah?
Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaqnya.
2) Perempuan yang Dicerai Tetap Tinggal di Rumah Suami Selama dalam Iddah
Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam 'iddah.
Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas
isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.
Hal ini disebabkan suami, selama dalam 'iddah,
masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada
perlindungan perkawinan untuk sekali lagi --apabila talaq ini baru satu
atau dua kali.
Seorang
isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami membuka ruang
untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir
sebelum habis 'iddah itu, dan sebelum berakhirnya bulan-bulan 'iddah
dimana perempuan diperintahkan supaya menunggu agar yakin akan
bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan
kehormatan isteri. Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru,
seorang yang sedang marah kadang-kadang menjadi rela, orang yang naik
pitam kadang-kadang menjadi dingin dan orang yang benci kadang-kadang
menjadi cinta.
Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah s.w.t. telah berfirman dalam al-Quran sebagai berikut:
يَا
أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاء فَطَلِّقُوهُنَّ
لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا
تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ
بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يَتَعَدَّ
حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ
يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا
Ertinya : "Dan
takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari
rumah-rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali
apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang
demikian itu adalah batas-batas ketentuan Allah, dan barangsiapa
melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia telah berbuat
zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barangkali Allah akan
mengadakan hal baru sesudah itu."(at-Thalaq: 1)
3) Talaq Mesti Dijatuhkan Mengikut Aturan Kiraan
Islam
memberikan kepada seorang muslim tiga talaq untuk tiga kali, dengan
suatu syarat tiap kali talaq dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak
disetubuhinya. Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis
iddah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalan 'iddah, maka dia boleh merujuknya.
Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis 'iddah,
dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan aqad dan
mahar (maskawin) baru. Dan kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali,
maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.
Jika
si laki-laki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talaq satu,
tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talaq
yang kedua, si lelaki masih boleh ruju' semula dalam tempoh 'iddah.
Dan
kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka
ini merupakan suatu bukti nyata, bahwa perceraian antara keduanya itu
harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.
Oleh
karena itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah
tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sampai dia kawin dengan
orang lain secara syar'i. Bukan sekedar menghalalkan si perempuan untuk
suaminya yang pertama tadi. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
TALAQ TIGA SEKALI LAFAZ?
Menjatuhkan talaq tiga dengan satu kali ucapan, adalah salah di sisi Islam.
Para ulama berbeza pendapat berapa talakkah yang jatuh sekiranya ia dilakukan juga seperti berikut :-
Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali : Jatuh talaq tiga sekaligus. ( Al-Mughni, 7/104 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385 )
Ibn Taimiah & Ibn Qayyim : jatuh satu Talaq sahaja ( Zad Al-Ma'ad, 4/67 )
Apapun,
di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna
sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq
tiga.
Kes
Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh
dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim
berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan
niat tidak perlu dibuktikan.
Hasilnya,
suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali
setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat
iddahnya.
Namun,
walalupun jatuh talaq tiga itu, Ia dikira satu kesalahan spiritual dari
sudut Islam . Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang
laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian
Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:
أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله
Ertinya
: "Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di
tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian
dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!"
(Riwayat Nasa'i, 2/349 )
Tebus Talak
Seorang
perempuan apabila tidak suka kepada suaminya tidak sanggup bergaul
bersama, maka dibolehkan menebus dirinya dan membeli kemerdekaannya
dengan mengembalikan harta yang pernah diberikan oleh suami kepadanya
berupa maskawin, atau hadiah dengan sedikit berkurang atau lebih menurut
kesepakatan bersama.
Akan tetapi yang lebih baik si laki-laki tidak mengambil lebih dari apa yang pernah diberikan.
Firman Allah:
فَإِنْ
خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا
فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا
Ertinya
: "Jika kamu kawatir mereka berdua tidak dapat menegakkan batas-Batas
ketentuan Allah, maka tidak dosa atas keduanya tentang sesuatu yang ia
menebus dengannya." (al-Baqarah: 229)
Isteri Tsabit bin Qais pernah datang kepada Nabi s.a.w. mengadukan:
"Ya
Rasulullah! Sesungguhnya Tsabit bin Qais tidak saya cela budi dan
agamanya, tetapi saya tidak tahan marahnya. Kemudian Nabi bertanya
tentang apa yang pernah dia ambil dari suaminya itu. Ia menjawab: Kebun.
Lantas Nabi bertanya lagi., Apakah kamu mau mengembalikan kebun itu
kepadanya? Ia menjawab: Ya. Maka bersabdalah Nabi kepada Tsabit:
Terimalah kebun itu dan cerailah dia." (Riwayat Bukhari dan Nasa'i)
Namun
demikian, seorang isteri tidak dibenarkan cepat-cepat minta cerai tanpa
alasan yang dapat dibenarkan dan tanpa suatu pendorong yang dapat
diterima yang kiranya bisa membawa kepada perceraian antara keduanya.
Sebab Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:
قال رسول الله أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير بأس حرم الله عليها أن تريح رائحة الجنة
Ertinya
: "Siapa saja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu
sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak akan mencium bau syurga."
(Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, 2/218 ; At-Tirmizi, 3/493 ; Al-Hakim :
Sohih dengan syarat Bukhari & Muslim ; At-Tirmidizi : Hadis Hasan)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
24 April 2008
17 Rabiul Akhir 1428 H