Soalan
Saya
telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya.
Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak
berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti
nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan
solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul
dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar
dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah
yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana
pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk
memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Jawapan
Tahniah,
kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang
melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering
dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah
maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia
dan akhirat.
Justeru,
jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di
katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang
niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya
satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari
perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi
mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :
Ertinya
: "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan
dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : "
Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas
menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya
perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia
berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" (
Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).
Imam
Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk
menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).
Justeru,
jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si
pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh
dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari
kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih
al-Bukhari, 7/15)
2)
Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi
memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah
dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari
dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat
lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan
hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk
kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya
dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu
menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka
Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi
menjawab :
Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).
Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin
meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih
menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu
berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut
At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).
Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga
membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa
info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang
HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan
tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)
3)
Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, (
Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram.
Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik
untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :
Ertinya
: " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai
kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim,
As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).
Syeikh
Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik
bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)
4)
Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan,
kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah.
Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. (
Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5)
Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau
tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu
menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga
mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang
batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini,
akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu
individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.
6)
Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi
kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi
bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat
dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar
suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan
email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira
secara ‘verbal' lebih mudah.
7)
Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan
perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga
seperti berikut :-
- Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
- Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
- Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
- Awas fitnah masyarakat sekeliling.
- Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
- Haram melihat kepada aurat masing-masing.
- Awas daripada bertukar gambar.
- Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
Ingatlah
wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan
dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan
serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas
berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah
dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat
sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya
selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana
tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka
kahwin. Baca lanjut di sini.
Sekian, Wallahu'alam.
Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Disember 2006
No comments:
Post a Comment